I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, June 13, 2009

CABARAN DAN DUGAAN


Jumaat, 12,Jun 2009, suamiku masuk wad di HTAA Kuantan, disahkan mengidap kencing manis, sebelum ini penyakit itu tidak ada. Hampir dua minggu suami mengalami tanda-tanda serangan penyakit itu Dia menjadi begitu lemah dan tidak bertenaga, kuat minum air dan kerap buang air kecil. Malangnya kami tak tahu, sangkaku cuaca panas menjadikan dia begitu.
Kesian suamiku, ingatkan dia hanya mengalami penyakit batu karang sahaja yang menyebabkan hempedunya terpaksa dibuang (1970), selepas itu batu karang dalam buah pinggang (2004), ini penyakit baru yang terpaksa dihadapinya.
Sedih juga hati ini apabila melihat beberapa kesan lebam akibat cucukan jarum oleh doktor yang mencari urat untuk memasukkan salur tiub. Lebih sayu lagi apabila pada tangan dan lehernya berselirat wayar tiub untuk memasukan air dan insulin.
Anak bongsuku yang terlalu rapat dengan bapanya sering bertanyakan perihal bapanya, runsing juga hatiku.

Tuesday, June 9, 2009

IBU DAN AYAH - di Hati Selamanya

Kasih ibu kasih sejati, kasih ayah sepanjang hayat, kasih keduanya tidak luput, malah makin segar, makin mekar untuk selama-lamanya, Bagi insan yang telah ketiadaan kedua mereka akan terkesan dengan kehilangan ini. suatu kehilangan yang tidak dapat diganti. "Kosong dan Sepi". Tiada lagi tempat selesa untuk mengadu, mencurah isi hati dan memujuk pada waktu-waktu hati gundah-gulana, Tiada lagi belai mesra, tegur-membina, leter-nasihat. Tiada siapa yang dapat menyamai diri mereka berdua.

Kepada insan-insan yang masih punya ayah dan ibu, hargailah masa bersama mereka, mesrailah mereka, kunjungilah mereka, usahlah dihindari mereka. Amat perit rasanya apabila ketiadaan mereka berdua.

Andaikata mereka telah pergi, jangan lupa hadiahi mereka dengan doa dan bacaan Quran. Akan bahagialah mereka di tempat persemadian mereka. usah sekadar membasahi air mawar tatkala jasadnya dikebumikan sahaja, basahi mereka selamanya dengan ayat-ayat suci itu agar roh mereka aman sentiasa.

Kepada Arwah Ayah dan Ibuku, semoga rohmu akan aman dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman di syurga. Insya-Allah.

Kasih dan Kasihan Mengatasi Segalanya


Cuti sekolah hampir ke penghujung, kasihan anak-anakku, tidak berpeluang bercuti lantaran kekangan masa seorang ayah, maka kugagahi diriku memandu kereta membawa mereka mengelilingi bandar Kuantan, membeli-belah dan makan-makan.Walaupun selama ini amat sukar bagiku untuk memandu kecuali perjalanan antara rumah ke sekolah sahaja. Terpancar kegembiraan pada wajah mereka, keriuhan suara mereka berjaya mengurangkan kegemuruhan aku berdepan dengan deretan kenderaan yang bersimpang-siur pada waktu puncak begini. Anak bongsuku masih mengharap aku akan membawa mereka lagi pada masa akan datang. Insya-Allah aku akan cuba dan aku rasa aku sudah mula berani.

Saturday, June 6, 2009

Tercipta Tanpa Jangka

Aku dah pandai bina blog dan dah ada blog sendiri . Pada mula tidak terfikir untuk membina blog,malah aku memandang sepi kepada blog ni, hanya kalau ada terluang sahaja aku membuka dan membaca artikel dalam blog yang kebetulan atau tak sengaja aku buka tetapi apabila melihat abangku sibuk bina blog, aku pun tertarik dan teringin punya blog sendiri. Mujurlah kakakku, kakramGC tu sedia mengajarku, kebetulan pula dia pulang ke Pahang untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu kami di Pahang Tua. terima kasih kakakku.