I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, December 31, 2009

Program Selepas UPSR 2009





Berbagai aktiviti dijalankan oleh pihak guru SK Pandan untuk murid-murid tahun 6 selepas mereka menduduki peperiksaan UPSR. Antaranya ceramah motivasi, aktiviti kemasyarakatan, sukan, Aktiviti ini bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada murid dan mengelakkan amalan ponteng dalam kalangan mereka dan pendedahan kepada mereka yang akan melangkah ke sekolah menengah. Salah satu aktiviti yang menarik ialah penyediaan makanan oleh murid perempuan dan penanaman pokok oleh murid lelaki. Kerjasama antara merekalah yang menghasilkan kejayaan.

Saturday, December 19, 2009

Terima Kasih

-

Inginku rakamkan ucapan terima kasih untuk teman seperjuangan, para guru SK Pandan yang telah bertungkus-lumus mendidik puteriku hingga dengan izin Allah maka puteriku berjaya mencapai kejayaan dalam UPSR 2009 .
Gandingan yang mantap bermula daripada guru kelas Pranya (2003) sehinggalah guru-guru Tahun Enam (2009) begitu gigih mendidik dan melaksanakan tanggungjawab mereka kepada puteriku membuahkan hasil yang lumayan.
Hanya Allah sahajalah yang dapat membalas jasa-jasa mereka.
Terima kasih, teman.

Friday, December 18, 2009

LANGKAH PERSEDIAAN



Kami warga SK Pandan khususnya dan guru-guru tahun enam khasnya melaksanakan pelbagai program sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan UPSR 2009.
Harapan kami agar program ini dapat membantu murid-murid tahun 6 sekolah kami mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR 2009 nanti. Sejajar dengan harapan Puan Guru Besar kami yang baru,Pn. Maznah bt. Hj. Abdullah, para ibu bapa serta kami para guru SK Pandan.
Kerjasama pihak pentadbir, guru-guru dan ibu bapa menjadikan program yang dilaksanakan dapat dijalankan dengan lancar.

Tuesday, July 28, 2009

Percubaan UPSR


Semalam Puteriku menduduki Peperiksaan Percubaan UPSR. Aku dapati dia agak tertekan tetapi aku berjaya memujuknya. Terdapat perubahan yang ketara pada dirinya setelah sembuh daripada demam tempoh hari. Dia menjadi agak pendiam dan kurang aktif. Guru-gurunya ramai mengadu perubahan sikapnya itu, kata mereka Fitri menjadi pendiam dan tidak aktif bertanya seperti dulu. Resah jadiku. puas aku risik tetapi katanya tidak ada apa-apa. Aku berharap dia tidak apa-apa, hanya sekadar belum betul-betul sembuh, Allah sahaja maha mengetahui

Sunday, July 26, 2009

5 BESTARI- Berilmu Perlu Beramal


Aku berada dalam kelas 5 Bestari, aku mengadakan gerak kerja kumpulan. Meriah sungguh mereka berbincang dan mencatat maklumat untuk menghasilkan kerja yang terbaik untuk dibentangkan pada rakan-rakan mereka. Setelah selesai mereka membentangkan hasil kerja mereka, tibalah sesi penggulungan olehku. Aku dapati hasil kerja mereka menampakkan kesungguhan walau bagaimanapun banyak ulasan membina yang aku beri untuk penambahbaikan bagi diri mereka.
Sedang aku leka menyampaikan ulasan, datang teman yang hendak mengambil gambarku untuk menjadikan aku sebagai model untuk assignmentnya. Dalam sukar terpaksa juga aku teruskan sesi ulasanku dengan membayangkan tiada kamera dihadapanku. bayangkanlah sesi ulasan itu aku lakukan pada bahagian belakang kelas, kononnya tak mahu muridku tertekan atau terasa dengan ulasanku yang bertujuan untuk mengajar mereka.
Stelah temanku berlalu, barulah aku rasa tenang, mujur muridku faham situasiku yang gelabah itu.
Doaku semoga mereka menjadi pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat

Friday, July 17, 2009

RANCANGAN PELAJARAN

Mengandungi rancangan tahunan mata pelajaran B.Melayu Tahun lima
Click here to download : http://www.mediafire.com/file/xxtjnzpznrj/RANCANGAN TAHUNAN B.MELAYU TAHUN 5.doc

Saturday, June 13, 2009

CABARAN DAN DUGAAN


Jumaat, 12,Jun 2009, suamiku masuk wad di HTAA Kuantan, disahkan mengidap kencing manis, sebelum ini penyakit itu tidak ada. Hampir dua minggu suami mengalami tanda-tanda serangan penyakit itu Dia menjadi begitu lemah dan tidak bertenaga, kuat minum air dan kerap buang air kecil. Malangnya kami tak tahu, sangkaku cuaca panas menjadikan dia begitu.
Kesian suamiku, ingatkan dia hanya mengalami penyakit batu karang sahaja yang menyebabkan hempedunya terpaksa dibuang (1970), selepas itu batu karang dalam buah pinggang (2004), ini penyakit baru yang terpaksa dihadapinya.
Sedih juga hati ini apabila melihat beberapa kesan lebam akibat cucukan jarum oleh doktor yang mencari urat untuk memasukkan salur tiub. Lebih sayu lagi apabila pada tangan dan lehernya berselirat wayar tiub untuk memasukan air dan insulin.
Anak bongsuku yang terlalu rapat dengan bapanya sering bertanyakan perihal bapanya, runsing juga hatiku.

Tuesday, June 9, 2009

IBU DAN AYAH - di Hati Selamanya

Kasih ibu kasih sejati, kasih ayah sepanjang hayat, kasih keduanya tidak luput, malah makin segar, makin mekar untuk selama-lamanya, Bagi insan yang telah ketiadaan kedua mereka akan terkesan dengan kehilangan ini. suatu kehilangan yang tidak dapat diganti. "Kosong dan Sepi". Tiada lagi tempat selesa untuk mengadu, mencurah isi hati dan memujuk pada waktu-waktu hati gundah-gulana, Tiada lagi belai mesra, tegur-membina, leter-nasihat. Tiada siapa yang dapat menyamai diri mereka berdua.

Kepada insan-insan yang masih punya ayah dan ibu, hargailah masa bersama mereka, mesrailah mereka, kunjungilah mereka, usahlah dihindari mereka. Amat perit rasanya apabila ketiadaan mereka berdua.

Andaikata mereka telah pergi, jangan lupa hadiahi mereka dengan doa dan bacaan Quran. Akan bahagialah mereka di tempat persemadian mereka. usah sekadar membasahi air mawar tatkala jasadnya dikebumikan sahaja, basahi mereka selamanya dengan ayat-ayat suci itu agar roh mereka aman sentiasa.

Kepada Arwah Ayah dan Ibuku, semoga rohmu akan aman dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman di syurga. Insya-Allah.

Kasih dan Kasihan Mengatasi Segalanya


Cuti sekolah hampir ke penghujung, kasihan anak-anakku, tidak berpeluang bercuti lantaran kekangan masa seorang ayah, maka kugagahi diriku memandu kereta membawa mereka mengelilingi bandar Kuantan, membeli-belah dan makan-makan.Walaupun selama ini amat sukar bagiku untuk memandu kecuali perjalanan antara rumah ke sekolah sahaja. Terpancar kegembiraan pada wajah mereka, keriuhan suara mereka berjaya mengurangkan kegemuruhan aku berdepan dengan deretan kenderaan yang bersimpang-siur pada waktu puncak begini. Anak bongsuku masih mengharap aku akan membawa mereka lagi pada masa akan datang. Insya-Allah aku akan cuba dan aku rasa aku sudah mula berani.

Saturday, June 6, 2009

Tercipta Tanpa Jangka

Aku dah pandai bina blog dan dah ada blog sendiri . Pada mula tidak terfikir untuk membina blog,malah aku memandang sepi kepada blog ni, hanya kalau ada terluang sahaja aku membuka dan membaca artikel dalam blog yang kebetulan atau tak sengaja aku buka tetapi apabila melihat abangku sibuk bina blog, aku pun tertarik dan teringin punya blog sendiri. Mujurlah kakakku, kakramGC tu sedia mengajarku, kebetulan pula dia pulang ke Pahang untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu kami di Pahang Tua. terima kasih kakakku.